HOME
Syarikat Medical Interest Group Sdn. Bhd. (MIGSB) bermula dengan kegigihan beberapa orang doktor perubatan yang ingin mencurahkan khidmat mereka kepada penduduk sekitar di Bandar Baru Bangi, Selangor. Penubuhan Kumpulan ini bermula pada tahun 2005 dengan modal berbayar ketika itu sebanyak RM1 juta. Sehingga kini, Kumpulan ini mempunyai modal berbayar sebanyak RM4 juta. Baru-baru ini Lembaga Pengarah bersetuju menaikkan modal dibenarkan berbayar daripada RM5 juta kepada RM25 juta. Hal ini mengambil kira program pembesaran syarikat untuk membina hospital baharu di Bandar Baru Bangi.

Sebelum ini, Bandar Baru Bangi tidak begitu berkembang pesat berbanding dengan sekarang. Namun, bagi memenuhi keperluan penduduk setempat yang kebanyakannya terdiri daripada kaum bumiputera, MIGSB membina hospital dan klinik di kawasan tersebut yang lebih dikenali sebagai Klinik Pakar An Nur (HPAN) pada tahun 2001.

Dengan penambahan modal berbayar tersebut, dari tahun ke tahun peningkatan katil wad bertambah daripada 27 buah pada tahun 2009 dan sekarang menokok kepada 32 buah, di samping menyediakan khidmat daripada 14 orang doktor pakar perubatan. Teras perniagaan MIGSB lebih memberikan perkhidmatan hospital pakar wanita dan kanak-kanak, iaitu menyediakan perkhidmatan pakar dalam bidang obstetrisian dan ginekologi (O&G) untuk ibu mengandung, terutama dari saat kelahiran sehingga penjagaan anak. Kumpulan ini turut menyediakan perkhidmatan pengkhususan dalam bidang dermotologi, pakar perubatan, ortopedik, psikiatrik dan lain-lain.

MIGSB terus mengembangkan sayap perniagaan apabila membuka akademi pendidikan perubatan dan pusat latihan pada tahun 2007 dengan membuat pelaburan ke syarikat InFusion Education Sdn. Bhd. dan Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS) bagi melahirkan pegawai perubatan. Selain itu Kumpulan ini turut menyediakan khidmat jururunding dan penyelidikan serta projek lain yang berkaitan dengan perubatan.

Dengan modal berbayar sebanyak RM11 juta, Syarikat InFusion Education dijangkakan mengukuh untuk menambahkan pelaburan semasa, manakala MIGSB memegang saham sebanyak 30 peratus. Dalam tempoh lima tahun terakhir ini, kedua-dua syarikat ini memperoleh keuntungan sebanyak RM3.4 juta dengan perolehan pendapatan sejumlah RM19.6 juta. Pada tahun lalu, Kumpulan ini memberikan enam peratus dividen kepada pemegang saham. Dalam tempoh tersebut, Kumpulan ini berjaya meningkatkan pelaburan daripada RM5 juta kepada RM25 juta bagi tujuan pembinaan hospital yang baharu yang dijangka siap pada tahun 2013 hingga 2015. Hospital baharu yang terletak di lokasi pusat perniagaan strategik, iaitu di Bandar Baru Bangi, bakal dilengkapi dengan 100 buah katil wad dan beberapa unit lot kedai dengan usaha sama KLIA Holding yang banyak membantu dalam pembinaan infrastruktur bangunan sebanyak 70 peratus manakala 30 peratus operasi perniagaan dikendalikan oleh Hospital An Nur.

Industri berasaskan perubatan Islam, apatah lagi yang didominasi oleh hospital swasta masih berkurangan di negara ini. Keadaan ini memberikan kelebihan kepada MIGSB untuk melebarkan perniagaannya. Seperti hospital perubatan Islam swasta yang lain, Kumpulan ini menyahut seruan negara sebagai pelopor perubatan Islam menerusi akademik pengajiannya.

“Perubatan Islam ini tiada kaitan dengan perbomohan. Di samping mengamalkan ilmu perubatan, kita turut menerapkan unsur doa, memperdengarkan azan kepada bayi yang baru lahir, melakukan tahnik, mengajarkan pesakit cara bertayamum, amalan menguatkan spiritual dengan cara berdoa dan sebagainya,” demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif MIGSB, Shaharom Md. Shariff.

Menurutnya, setiap pagi pesakit diminta berdoa sebagai peringatan diri sama ada penyakitnya sebagai kafarah atau ujian terhadapnya. Hospital An Nur sering menekankan kemesraan perkhidmatan kepada pelanggannya di samping cuba memulihkan kerohanian pesakit secara perubatan Islam.

Bagi warga kerja MIGSB pula, setiap minggu Kumpulan ini mengadakan tazkirah bahawa merawat pesakit merupakan tugas yang besar, mulia dan murni dari segi Islam. “Kita menyelamatkan nyawa seolah-olah kita menyelamatkan ummah,” tegasnya.

Selain itu katanya, MIGSB turut menerapkan konsep bekerja berlandaskan Islam, sama ada dari segi pengambilan ubatan, makanan, cara berinteraksi dengan pelanggan, dan memberikan nasihat dan panduan perubatan kepada pesakit. Dari segi pengurusan hospital, Kumpulan ini mementingkan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya dengan menyediakan khidmat doktor pakar.

“Jika cara doktor mengendalikan pesakit atau melayan pelanggan secara baik, pelanggan akan terus datang. Kemujaraban ubat yang digunakan juga penting untuk menarik minat pelanggan,” katanya.

Berbekalkan khidmat pelanggan terbaik, beliau mengakui bahawa bukan mudah untuk mengekalkan prestasi dalam perniagaan apatah lagi pelaburan dalam industri perubatan terlalu tinggi, misalnya untuk penyediaan sebuah katil wad membabitkan kos bernilai RM1 juta.

“Mungkin untuk menyediakan klinik lebih mudah berbanding dengan pembinaan hospital. Kepakaran juga amat diperlukan dalam bidang perubatan dan pengurusan. Kepakaran doktor diperlukan untuk merawat pesakit manakala kepakaran pengurusan hospital memerlukan khidmat orang korporat,” jelasnya.

Tambahnya, ketika membangunkan hospital ini, kesukaran Kumpulan ini adalah untuk menarik minat pelabur. Setakat ni MIGSB menerima pelaburan daripada KLIA Holdings. Keadaan ini memberikan keyakinan kepada pihak pelabur dan pihak institusi kewangan untuk membuat pelaburan ke atas Kumpulan ini.

Semua jenis perniagaan, mahu tidak mahu terpaksa melalui pelbagai cabaran. Cabaran terbesar industri perubatan ini pastinya kesukaran menyediakan infrastruktur yang mencukupi serta memberikan keselesaan kepada pelanggannya. Misalnya, terdapat beberapa buah hospital besar di negara ini tidak dapat menampung bilangan pesakit yang semakin bertambah setiap hari sedangkan bilangan katil wad yang sedia ada tidak mencukupi. Namun, setakat ini MIGSB masih lagi mampu menampung 32 buah katil wad manakala permintaan syarikat besar terhadap khidmat doktor pakar Kumpulan ini semakin bertambah untuk kemudahan perubatan kepada stafnya.

Dalam industri perubatan ini, Kumpulan ini mampu mengekalkan momentum kejayaan berikutan sentiasa mendapat permintaan daripada pelanggan. Persaingan perniagaan agak kurang berdasarkan wad katil sentiasa penuh dengan kapasiti pelanggan sebanyak 75 peratus.

Kejayaan ini menurut Shaharom, “inilah hasil keberkatan perniagaan”, iaitu menjalankan sesuatu usaha dengan niat yang betul mengikut syariat.

Menyedari peranan yang dimainkan oleh Kumpulan ini begitu besar di tengah-tengah masyarakat Islam, Kumpulan ini tidak lupa untuk menunaikan tanggungjawab sosial, iaitu mengadakan kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan ILLIM bagi mengimarahkan masjid pada bulan Ramadan. Pada bulan tersebut, Kumpulan ini dengan kerjasama JAKIM dan ILLIM mengadakan seminar kepada orang ramai dan warga kerja hospital serta klinik sekitar. Seminar yang dibentangkan berkenaan dengan kelebihan Ramadan, penjagaan kesihatan dalam bulan Ramadan, penerangan tentang gastrik serta mengadakan “sunaton” (berkhatan beramai-ramai) di kawasan sekitar. Pada tahun lalu, Kumpulan ini turut membantu 100 orang pelajar miskin dari tahun tiga hingga tahun lima untuk berkhatan secara percuma yang diadakan di Masjid Hasanah.

Ikuti wawancara selanjutnya Dewan Ekonomi dengan Ketua Pegawai Eksekutif Medical Interest Group (MIGSB), Shaharom Md. Shariff tentang perkembangan syarikat yang berasaskan industri kesihatan dan perubatan Islam ini yang semakin berkembang pesat di negara ini. Ikuti juga pengalaman menarik beliau yang begitu komited menyediakan perkhidmatan terbaik setanding dengan hospital swasta lain di negara ini.

Apakah strategi yang digunakan oleh MIGSB untuk menghadapi persaingan sengit dari luar dan dalam?

An Nur Hospital mempunyai niche tertentu dalam menghadapi persaingan. Antara yang dijalankan adalah dengan mengamalkan kaedah perubatan Islam. Kami melakukan prosedur yang tidak bercanggah dengan Islam dan menjalankan perkara yang dituntut oleh syariat. Perkara ini memang belum diperluas lagi dari segi kefahaman dan praktikal. An Nur cuba mempopularkan konsep ini walaupun sudah ada Hospital Mesra Ibadah (HMI).

Bagaimanakah syarikat ini memberikan sumbangan yang besar terhadap pelanggan dan ekonomi negara?

Sektor perubatan dan pendidikan adalah sektor yang kritikal di dalam sesebuah negara. Setiap negara ingin melihat setiap warganya sentiasa sihat dan dapat bekerja dengan baik serta meningkatkan produktiviti negara, jika warganya berada dalam tahap kesihatan yang memuaskan. Produktiviti akan menurun apabila banyak warganya sentiasa dibelenggu penyakit dan tidak dapat menyumbang dalam pembangunan negara.

Oleh sebab itu, tidak hairanlah diwujudkan minggu kesihatan sedunia. Menyedari kepentingan bidang kesihatan dan perubatan, MIGSB memberikan rawatan yang terbaik di samping ubatan yang dapat menyembuhkan pesakit dengan cepat, insya-Allah. Selain itu, kami mengadakan minggu Ramadan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor dan JAKIM dalam memberikan kefahaman tentang kebesaran Ramadan kepada umat Islam.

Segmen perniagaan manakah yang paling menjanakan pendapatan yang memberangsangkan kepada syarikat ini?

Buat masa ini segmen pendidikan yang memberi pulangan yang lebih tinggi daripada perkhidmatan hospital. Namun, kedua-dua segmen ini memberi keuntungan kepada syarikat. Dalam masa terdekat ini, setelah Hospital An Nur yang baharu yang dijangka siap pembinaannya di bulatan pertama Bangi selepas Tol Bangi, saya menjangkakan segmen perubatan akan terus mengambil alih perniagaan.

Apakah slogan syarikat atau Rukun Budaya Korporat yang diamalkan oleh Kumpulan ini untuk memacu kejayaan syarikat?

MIGSB berpegang pada slogan, “Kecemerlangan melalui perkhidmatan, latihan dan penyelidikan”. Kami ingin sentiasa mencapai kecemerlangan dalam setiap perkhidmatan dan latihan yang ditawarkan kepada pelanggan. Perkhidmatan berkualiti serta harga yang berpatutan akan memberi nilai kewangan ( value for money ) kepada pelanggan kami. Tambah pula perkhidmatan yang berbentuk lebih Islamik akan menampakkan keyakinan mereka untuk menemui pakar perubatan kami.

Bagaimanakah Kumpulan ini menjaga kebajikan sosial atau modal insan pekerja untuk memastikan mereka kekal berdaya saing dan komited?

Syarikat sentiasa mengambil berat tentang kebajikan warga kerja. Setiap tahun Kumpulan ini mengadakan latihan dan bina pasukan supaya pekerja dapat mengenali antara satu sama lain. Semasa bina pasukan, warga kerja bergaul mesra antara pihak pengurusan dengan warga kerja bawahan. Semua pekerja tanpa mengira pangkat terlibat dalam menentukan sesuatu pasukan itu berjaya dalam setiap bahagian yang diceburi.

Mereka yang baru berkhidmat akan dilatih dari segi teknikal dan perkhidmatan pelanggan selain daripada mengikuti Program Pendidikan Lanjutan [ Continuous Educational Program (CEP)] yang diadakan pada setiap bulan untuk meningkatkan ilmu, kefahaman, dan kecekapan dalam menjalankan tugas. Setiap minggu, warga kerja turut berhimpun untuk mendengar tazkirah yang disampaikan oleh pengurus kanan dan ustaz untuk menambahkan kesedaran dan tanggungjawab terhadap pekerjaan dan pelanggan.

Harap dapat tuan berkongsi pengalaman peribadi ketika menguruskan syarikat ini?

Pengurusan syarikat amat penting untuk mengemudi dan menunjuk hala tuju syarikat. Semua pekerja akan menumpukan pekerjaan apabila ada pihak tertentu yang akan melihat kebajikan mereka serta dapat memberi pendapatan yang berterusan untuk perkembangan keluarga serta masyarakat sekeliling.

Sebelum saya menyertai Kumpulan ini, ada beberapa perkara yang dilihat masih lemah dan tidak bersistematik. Pada tahun lalu, saya melihat tiga perkara yang memerlukan anjakan perubahan yang besar, iaitu pengurusan inventori, pengurusan dana, dan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK). Selepas dibuat transformasi besar-besaran, hasilnya syarikat mencatatkan keuntungan tiga kali ganda berbanding dengan tahun sebelum ini. Pencapaian ini dapat dirasai bersama-sama dengan pekerja kerana mereka yang bertanggungjawab menggerakkan transformasi tersebut.

Cabaran yang paling besar ketika saya menguruskan Kumpulan ini ialah menguruskan aliran kewangan dan kawalan kredit. Namun, Kumpulan ini berjaya mengelakkan penggunaan overdraf. Ada masanya, kita berhadapan dengan pembayar hutang yang gagal menjelaskan tunggakan dengan baik sehingga memakan masa yang lama dan ada masanya hutang kredit pelanggan mencecah RM600 ribu hingga RM2 juta dalam masa sebulan.

Memandangkan Kumpulan ini terlibat dalam perkhidmatan, sudah pasti saya dipertanggungjawabkan untuk mengekalkan standard kualiti dalam perkhidmatan. Ketika memberikan perkhidmatan, kita berdepan dengan pelbagai kerenah pelanggan. Dalam hal ini, “senyuman” perlu sentiasa menghiasi bibir, latihan perubatan yang disediakan dalam tempoh tiga hingga empat bulan turut menekankan khidmat pelanggan dengan cara menjawab telefon, mengendalikan pelanggan yang keluar masuk hospital dan sentiasa mengamalkan 3S, iaitu senyum, salam serta mengucapkan “ syafaatullah ” kepada pesakit.

Berhadapan dengan pelbagai ragam pelanggan atau pesakit sememangnya mengundang stres. Namun, setiap doktor di sini bijak mengendalikan stres dan mengawal emosi. Contohnya, stres paling banyak dihadapi di wad kanak-kanak dan wad salin kerana mencatatkan bilangan pesakit yang paling banyak. Dalam hal ini, setiap doktor memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing dan tiada masalah untuk berhadapan dengan apa-apa juga situasi kritikal.

Pengalaman yang paling mencabar bagi saya ialah menyediakan kemudahan kepada staf yang bersara, iaitu sebanyak 180 orang staf terdiri daripada jururawat. Cabarannya, pusing ganti ( turnover ) keluar masuk staf begitu tinggi kerana tawaran di luar ternyata jauh lebih menarik. Bagi mengelakkan keadaan ini berlaku, selepas bersara kami memberikan jaminan agar mereka menikmati kemudahan pencen dan gratuti, selain potongan gaji untuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pemberian SOCSO.

Apakah harapan MIGSB agar Kumpulan ini berkembang pesat dalam industri perubatan serta nasihat kepada pihak yang berminat untuk menceburi industri perubatan?

Bagi syarikat ini penting untuk melestarikan perniagaan serta mendapat kemudahan dari institusi kewangan. Dalam hal ini, syarikat perlu lebih efisien dan mempunyai pekerja yang memahami visi syarikat serta bertanggungjawab untuk sama-sama memajukan syarikat.

Kumpulan ini sentiasa melihat kemajuan untuk berkembang serta membuka cawangan baharu di Lembah Klang dan juga di seluruh negara. Kami bertekad untuk membangunkan teknologi hijau menerusi pembinaan sebuah hospital yang menyediakan 100 buah katil wad di Bandar Baru Bangi. Memandangkan penggunaan kuasa tenaga begitu tinggi di sesebuah hospital, bagi menjimatkan tenaga kami berusaha untuk menghidupkan teknologi hijau dalam pembangunan hospital dari awal pembinaannya. Segala langkah yang dapat membantu untuk mengurangkan penggunaan kuasa tenaga fosil dilakukan dengan penggunaan cahaya asli.

Walaupun An Nur hospital swasta, kami turut menyediakan tabung kebajikan berbentuk waqaf untuk pelanggan yang kurang berkemampuan supaya mereka tidak terkecuali menerima rawatan di hospital ini. Sumbangan orang ramai diperlukan bagi mengisi tabung ini. Pengawasan tabung ini dilakukan oleh komiti yang akan melihat kes.

Nasihat saya kepada usahawan, industri perubatan dijangkakan akan terus berkembang pada masa depan dan mempunyai nilai rantaian yang besar serta memberi banyak peluang yang boleh diceburi dalam bidang ini. Bidang perubatan ini termasuklah sebagai pembekal dan pengusaha perkhidmatan. Dari segi pembekal, boleh didapati dengan perkilangan dan perdagangan dalam bentuk penyediaan peralatan, ubatan dan pakaian. Pengusaha perkhidmatan pula boleh dilihat dari segi klinik, makanan, pengurusan sisa toksik sehingga penubuhan hospital.

Usaha gigih serta iltizam yang kuat dan juga konsisten dengan perkara yang dapat membantu mengukuhkan kedudukan syarikat perlu dilakukan seperti pengurusan kewangan yang baik dan tulus. Modal insan yang terlatih dan memberi semangat untuk bertugas dengan ikhlas dan jujur.

Dalam hal ini, MIGSB mempunyai dua bidang industri utama, iaitu kesihatan dan pendidikan. Kedua-dua industri ini merupakan industri yang sentiasa berkembang pesat dan termasuk dalam Aktiviti Utama Ekonomi Nasional [ National Key Economic Area (NKEA)] negara. Industri kesihatan kalau dilihat dari segi penglibatan swasta masih banyak ruang untuk berkembang terutama hospital swasta. Terdapat permintaan yang tinggi dari segi perkhidmatan yang berkualiti untuk orang awam terutama di tempat yang strategik masih kekurangan hospital pakar. Dari segi pendidikan, MIGSB melabur dalam syarikat InFusion Education Sdn. Bhd. (IESB) dengan perolehan saham 30 peratus. IESB mengendalikan Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS). Lepasan pertama MIGSB bermula pada tahun lalu dan kini mereka sudah berkhidmat di hospital awam.

Apakah pandangan tuan tentang kesedaran orang ramai berhubung dengan penjagaan kesihatan?

Walaupun mereka menyedari merokok membahayakan kesihatan dan harga rokok semakin meningkat, perokok masih berdegil. Ada antara mereka mengambil makanan berguna berlebihan, kurang senaman, kadar obesiti semakin meningkat dan bilangan kematian disebabkan kanser juga begitu tinggi.

Konsep mencegah lebih baik daripada mengubati seharusnya menjadi amalan orang ramai. Di negara maju, mereka menekankan hidup sihat dan sejahtera dan sentiasa mendapatkan maklumat tentang penjagaan kesihatan di internet dan media. Apabila semua orang sihat tidak bermakna hospital tidak diperlukan, iaitu hospital masih diperlukan untuk membantu menyediakan rawatan dan perubatan kepada orang ramai.

Misalnya, penjagaan kesihatan bagi pesakit warga emas menjadi sebahagian daripada rawatan hospital. Berhubung dengan perkara ini, untuk jangka masa panjang, syarikat ini sedang menimbangkan untuk menyediakan rumah hospital bagi kemudahan pesakit warga emas dan pesakit yang datang dari tempat yang jauh.

Bagi pesakit warga emas, penjagaan dapat dilakukan dengan rapi dan tumpuan sepenuhnya dapat diberikan tanpa perlu berulang alik dari rumah ke hospital. Sementara itu, ahli keluarga tidak berasa terbeban untuk menjaga orang tua mereka kerana hospital bertanggungjawab sepenuhnya menjaga pesakit warga emas.